Abang Johari pada Majlis Pelancaran Kad Maya UnionPay menerusi Sarawak Pay di Wisma Bapa Malaysia. - Gambar Jabatan Penerangan.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata aplikasi eWallet, Sarawak Pay kini dikenali SPay Global sesuai dengan fungsinya sebagai pembayaran tanpa tunai di luar negara yang menerima transaksi UnionPay.

Menurutnya, sekarang adalah masa yang tepat untuk menjenamakan semula agar ia diterima di seluruh dunia.

"Ini satu hari yang agak bersejarah untuk Sarawak malah negara, kerana kita mempunyai pembayaran eWallet, Sarawak Pay sekarang kita bekerja sama dengan Union Pay International yang mempunyai liputan di seluruh dunia.

"Maknanya kita boleh berbelanja di negara-negara menerima atau mengguna pakai transaksi UnionPay," katanya pada sidang media di sini, selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kad Maya UnionPay menerusi Sarawak Pay di sini, hari ini.

Abang Johari berkata antara negara yang menerima UnionPay ialah Kesatuan Eropah termasuk England, China, India, Hong Kong, Korea, Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

"Dua tahun lalu ketika saya berkunjung ke Shanghai China, saya telah menandatangani perjanjian bagi pihak Sarawak Pay dengan Union Pay International, bermakna sistemnya telah disatukan QR kodnya yang boleh menerima kad Sarawak Pay.

"Selain itu, pelancong dari negara yang menerima transaksi UnionPay, misalnya seperti Singapura boleh berbelanja di Sarawak. Ini sudah tentu membolehkan kemasukan pelancong ke negeri ini selepas pandemik (COVID-19) jika ada pengurusan gelembung pelancongan antara Sarawak dan Singapura," jelasnya.

Read full story at Utusan Borneo.